Pada suatu masa, ada seorang raja yang bernama Maha Janaka bersemayam di bandar Mithila, dalam kerajaan Videha. Baginda mempunyai dua orang putera, Arittha Janaka dan Pola Janaka.
Selepas kemangkatan baginda, putera sulungnya, Arittha Janaka menjadi raja dan Pola Janaka menjadi Raja Muda.
Pada suatu hari, seorang hamba abdi mengadap dan memberitahu raja bahawa Raja Muda berniat hendak membunuh raja. Selepas mendengar berita itu beberapa kali, raja pun memasukkan Pola Janaka ke dalam penjara. Sebenarnya Raja Pola Janaka tidak pernah merancang hendak membunuh Raja Arittha. Raja Pola Janaka berkata kepada dirinya, "Sekiranya beta ini bukan musuh kekanda beta, semoga rantai ini putus dan pintu ini terbuka." Pada saat itu juga rantai itu putus dan pintu penjara itu luas terbuka.
Putera Pola Janaka melarikan diri ke sebuah kampung di sempadan dan tinggal di sana. Apabila orang-orang mengetahui bahawa beliau adalah putera raja, mereka menolong dan melayannya dengan baik sekali. Di dalam masa yang singkat saja. Raja Pola Janaka telah menjadi ketua kampung di tanah jajahannya yang berhampiran dengan sempadan kerajaan Videha. Suatu hari, apabila Pola Janaka sudah mempunyai askar yang mencukupi untuk menawan bandar Mithila, dia pun membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki bandar itu.
Raja Arittha Janaka bersiap-sedia untuk menentang adindanya. Baginda menyuruh permaisuri baginda yang sedang hamil supaya menjaga diri baik-baik. Baginda juga berpesan kepada permaisuri supaya menjaga anaknya dengan baik nanti, seandainya baginda terkorban dalam medan peperangan. Memang benar, Raja Arittha Janaka telah terkorban. Permaisuri menyamar diri. Baginda memasukkan barang-barang ke dalam raga dan menutupnya dengan beras. Kemudian Permaisuri meninggalkan istana dan menuju ke Kala Campa.
Permaisuri tidak tahu jalan menuju ke Kala Campa kerana dia tidak pernah meninggalkan istana. Bayi di dalam kandungannya tidaklah lain, melainkan Bodhisatta. Oleh sebab itu. Raja Sakka, iaitu raja kepada dewa-dewa, turun dan menolong baginda. Raja Sakka membawa permaisuri ke dalam kereta kuda dan tiba di Kala Campa dalam masa yang singkat.
Di Kala Campa, permaisuri berjumpa dengan seorang Brahmin dan Brahmin itu menjaganya seperti adik kandungnya. Pada suatu hari, permaisuri telah melahirkan seorang putera. Baginda menamakannya Maha Janaka, iaitu mengikut nama nenendanya. Apabila Maha Janaka sudah besar, dia bermain dengan kawan-kawannya. Apabila mereka mengusiknya, dia akan memukul mereka. Mereka menggelarnya "Anak Lelaki Balu".
Maha Janaka bertanya kepada ibunya mengapa dia digelar "Anak Lelaki Balu". Ibunya hanya menjawab bahawa dia adalah anak Brahmin itu. Apabila kawan-kawannya bertanya "Apakah hubungan awak dengan Brahmin itu? " Maha Janaka pun mula berfikir, "lbu aku enggan menerangkan perkara yang sebenarnya kepadaku. Aku akan membuat dia menerangkannya. "
Pada suatu hari,ketika dia sedang menghisap susu ibunya, dia berkata bahawa dia akan menggigit ibunya jika beliau tidak memberitahu kedudukan yang sebenar kepadanya. Dengan itu ibunya terpaksalah memberitahunya rahsia itu.
Pemaisuri berkata, "Anakku, anakanda adalah putera Arittha Janaka dari Mithila, ayahandamu telah dibunuh oleh Pola Janaka, dan bonda telah datang ke sini untuk menyelamatkan anakanda. Brahmin ini menganggap bonda sebagai adiknya dan dialah yang menjaga bonda. "
Bermula dari saat itu, Maha Janaka tidak lagi marah apabila digelar anak balu. Sebelum umurnya mencapai enam belas tahun, dia telah mempelajari ketiga-tiga Veda dan ilmu sains. Apabila umur dia telah menjangkau enam belas tahun dia telah menjadi seorang pemuda yang kacak.
Kapal Maha Janaka Karam Di Laut
Putera Maha Janaka sudahpun berumur enam belas tahun. Dia berfikir, "Aku akan mengambil balik kerajaan kepunyaan ayahandaku." Mula-mulanya dia terpaksa mencari wang untuk mengadakan tentera. Bondanya telah memberikan barang-barang kemasnya tetapi dia hanya mengambil separuh daripadanya. Maha Janaka telah berlepas ke Suvanna-Bhumi (Asia Tenggara) untuk berniaga. Apabila wang sudah cukup nanti dia akan mendapatkan tentera dan menakluki Mithila.
Pada hari Maha Janaka pergi belayar. Raja Pola Janaka jatuh sakit dan tidak dapat bangun. Kapal Maha Janaka membawa banyak barang. Selepas berlayar selama tujuh hari, papannya pecah, air melimpah masuk dan ia mulai karam di tengah-tengah lautan. Anak-anak kapal menangis sambil melaung nama berbagai-bagai dewa.
Maha Janaka tenang sahaja. Dia tidak menangis atau memanggil dewa-dewi apabila mengetahui kapal itu tidak dapat diselamatkan lagi. Dia melumurkan badannya.dengan gula-gula dan minyak sapi. Dia memakan sehingga kenyang dan selepas itu dia menyapu minyak ke atas pakaiannya dan memakainya dengan ketat. Selepas itu dia berdiri sambil menyandar pada papan. Semua anak kapal sudah dimakan oleh ikan dan penyu. Air di sekelilingnya menjadi merah disebabkan oleh darah.
Maha Janaka berdiri di atas tiang layar dan bertekad untuk pergi ke Mithila. Dengan segala kekuatan yang ada padanya, dia terjun dari layar itu dan jatuh jauh daripada kapal serta penyu-penyu dan ikan. Pada hari yang sama juga Pola Janaka mangkat. Maha Janaka pun mulai berenang. Apabila ternampak pantai semula, dia membasuh mulutnya dengan air laut dan mengamalkan "Lapan Sila".
Pada ketika itu pari Mani Mekhala telah diberi tugas oleh Empat Dewi Pengawal untuk mengawal laut. Mereka berkata kepadanya, "Pergilah kepada orang-orang yang menunjukkan hormat kepada ibu-ibu mereka. Mereka tidak patut jatuh ke dalam laut. Kamu patut menjaga mereka." Selama tujuh hari Mani Mekhala terlupa mengawal laut. Tetapi pada hari ke tujuh, sedang dia memandang ke laut, dia ternampak Maha Janaka sedang berenang untuk menyelamatkan diri.
Dia sangat kagum melihat betapa usaha dan gigihnya Maha Janaka, lalu dia pun mendukungnya keluar dari air. Dia terbang ke angkasa bersama Maha Janaka yang sedang tidur nyenyak dalam dukungannya selama tujuh hari. Kemudian dia membawa. Maha Janaka dan membaringkannya di dalam sebuah kebun mangga.
Raja Pola Janaka tidak mempunyai putera. Baginda meninggalkan seorang puteri yang bernama Sivali Devi. Sebelum mangkat, baginda berpesan, "Berilah kerajaan ini kepada seorang yang dapat membahagiakan puteri beta, Sivali, atau kepada seorang yang tahu sebelah manakah kepala katil yang empat segi itu; atau orang yang boleh mengikat tali busur panah yang memerlukan tenaga sebanyak seribu orang untuk mengikatnya; atau orang yang boleh mencari keenam-enam belas harta karun.
Selepas raja mangkat, beberapa orang pemuda datang untuk mendapatkan tuan puteri, tetapi mereka gagal. Tiada seorang pun yang boleh memberitahu sebelah manakah kepala katil. Tiada seorang pun yang dapat mengikat tali busur panah itu dan tiada siapa yang menjumpai keenam-enam belas harta karun yang tersembunyi itu.
Rakyat jelata menjadi risau kerana tiada raja yang akan memerintah Mithila nanti. Tetapi sami keluarga diraja menasihati mereka supaya jangan risau, dan berkata, "Hantarkan sebuah kereta kuda yang cantik. Sesiapa yang dijumpai oleh kereta kuda itu akan menjadi raja." Kereta kuda pun dihantar keluar. la ditarik oleh empat ekor kuda dan diiringi oleh orang ramai yang bermain muzik.
Kereta kuda terus bergerak sehingga tiba di kebun mangga di mana Maha Janaka sedang berehat. Apabila Maha Janaka terdengar bunyi muzik, dia terjaga dan melihat payung mahkota berwarna putih di atas sebuah kereta kuda. Sami itu melihat pada kaki Maha Janaka lalu berkata, "Dia akan menjadi raja kepada empat benua suatu masa nanti." Maha Janaka kemudian dimahkotakan dan digelar Raja Maha Janaka.
Maha Janaka Menjawab Teka-Teki
Sebelum raja Mithila mangkat, baginda berpesan bahawa raja baru mestilah mampu menggembirakan puteri Sivali, dia harus tahu di sebelah manakah kepala katil yang berbentuk empat segi itu; atau boleh mengikat busur panah yang memerlukan kekuatan seribu orang; atau sesiapa yang menjumpai keenam-enam belas harta karun itu.
"Harta karun di matahari terbit, harta karun di matahari terbenam,
harta karun yang di luar, yang di dalam,
dan yang bukan diluar atau di dalam,
pada tangga naik, pada tangga turun,
keempat-empat tiang Sal, dan bulatan Yojana.
Di penghujung gigi, di hujung ekor, di dalam kebuka, di hujung pokok.
ltulah kesemua enam belas harta karun itu..."
Apabila Maha Janaka menjadi raja yang baru, Puteri Sivali memberinya ujian yang pertama. Tuan Puteri menghantar orang mengarahkan Maha Janaka supaya datang untuk berjumpanya dengan segera. Maha Janaka berpura-pura tidak mahu mengikuti arahan utusan puteri. Apabila utusan itu datang pada kali ketiga, barulah Maha Janaka pergi dengan perlahan-lahan naik ke istana. Apabila dia sudah hampir, puteri tidak dapat berdiri dengan tegak lagi, disebabkan oleh rupa paras Maha Janaka yang begitu kacak dan sesuai benar sebagai seorang raja. Tuan puteri berjalan menghampiri Maha Janaka serta menghulurkan tangan. Kemudian mereka pergi duduk bersama-sama di atas bangku di bawah payung putih. Dengan itu Maha Janaka berjaya menggembirakan puteri itu. Lepas itu Maha Janaka terpaksa mencari sebelah manakah kepala katil empat segi tepat itu. Dia mencabut sebatang jarum emas dari rambutnya sambil menghulurkannya kepada tuan puteri; dia berkata, "Letakkan jarum ini di tempatnya." puteri itu mengambilnya dan meletakkannya di bahagian kepala katil itu.
Ujian yang berikutnya ialah mengikat busur panah yang memerlukan kekuatan seribu orang. Apabila busur panah itu dibawa, Maha Janaka mengikatnya dengan mudah.
Akhir sekali Maha Janaka perlu mencari harta-harta yang tersembunyi itu. Dia memikirkan teka-teki yang ditinggalkan oleh raja. Dia tahu perkataan "matahari terbenam" dan "matahari terbit" tidak bermaksud matahari di langit. Perkataan-perkataan itu bermaksud 'Buddha yang berdiam diri seperti matahari'. Harta karun yang pertama telah dijumpai di mana raja mengalu-alukan ketibaan Buddha-Buddha, iaitu "matahari terbit". Harta karun yang kedua juga dijumpai di mana Buddha-Buddha meninggal, iaitu "matahari terbenam. "
Harta "di dalam" digali di dalam kawasan pintu pagar yang paling utama dalam istana. Harta karun "di luar" pula digali di luar pintu pagar. Harta yang "bukan di luar atau di dalam" digali di bawah pintu pagar istana.
Harta yang tersembunyi "di tangga" digali naik oleh Maha Janaka di mana mereka meletakkan tangga untuk menaiki gajah diraja. "Keempat-empat tiang sal" adalah empat kaki bangku diraja yang diperbuat daripada kayu Sal. Dari bawah bangku itu empat buah guri yang penuh berisi barang-barang yang bernilai dikeluarkan. "Bulatan Yojana" (Yojana ialah sekok kereta kuda), oleh itu Maha Janaka menggali keliling bangku diraja sepanjang satu sekok dan mengeluarkan beberapa guri harta karun dari situ.
"Harta penghujung gigi"- di tempat di mana gajah diraja berdiri, dia mengeluarkan barang-barang dari tempat di hadapan "dua gading". "Di hujung ekornya", di tempat kuda diraja berdiri, dia mengeluarkan guri-guri daripada bahagian yang bertentangan dengannya. "Di dalam kebuka" (air dipanggil kebuka) ; dia mengeluarkan air daripada tasik diraja dan di sana harta dijumpai." Harta di penghujung pokok", dia mengeluarkan guri-guri yang penuh berisi barang-barang bernilai, yang ditanam dalam kawasan lengkungan yang dilukis mengikut bayang pokok Sal di dalam taman diraja pada waktu tengah hari tepat. Dengan ini, Maha Janaka mendapat kesemua enam belas harta karun yang tersembunyi itu.
Walau bagaimanapun Maha Janaka tidak menyimpan semua harta itu untuk dirinya. Dia membina dewan-dewan di mana orang-orang miskin diberi makanan. Dia menyuruh orang pergi menjemput ibunya dan Brahmin itu di Kala Campa .Baginda memberi penuh penghormatan kepada mereka berdua. Raja Maha Janaka seorang yang baik lagi adil. Suatu hari permaisuri Sivali melahirkan seorang putera yang diberi nama Dighavu.
Pada suatu masa raja melawat tamannya. Di dalam tamannya ada dua pohon mangga. Yang satu mempunyai banyak buah yang manis; yang sepohon lagi tidak berbuah. Tiada siapa yang berani menyentuh buah-buah itu sebab raja belum lagi merasainya. Melihat buah-buah yang masak itu, baginda mengambil sebiji lalu santap. Rasanya sungguh lazat. Baginda akan datang lagi dan memakannya dengan lebih banyak lagi.
Setelah orang ramai melihat bahawa raja telah pun santap mangga dari pokok itu, mereka pun mulai memetik dan memakan buah-buahnya. Ada juga yang sampai mematahkan dahan-dahannya. Akhirnya pokok itu tinggal tanpa buah serta patah-patah. Sebaliknya pokok yang sepohon lagi yang tidak berbuah itu kekal menghijau kerana ia tidak berbuah. "Pokok yang satu lagi cedera dan patah-patah disebabkan oleh buahnya. Takhta kerajaan ini boleh diumpamakan seperti pokok yang berbuah, tetapi menjadi sami bolehlah diibaratkan pokok tanpa buah. Seseorang yang mempunyai kekayaan akan diselubungi oleh ketakutan. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan merasai sebarang ketakutan. Oleh itu beta akan menjadi seperti pokok yang tidak berbuah - beta akan menjadi seorang sami. "
Maha Janaka menjadi seorang sami dan meninggalkan putera Dighavu memerintah negerinya. Tidak lama kemudian Permaisuri Sivali menjadi seorang alim dan tinggal di kebun mangga. Selepas mangkat, baginda permaisuri dilahirkan semula sebagai dewa Brahma.
Seseorang yang tidak berusaha ketika masih muda dan gagah,
suka menghabiskan masa dengan sia-sia serta malas,
tidak mempunyai matlamat hidup dan fikiran yang bernas ,
orang ini tidak akan menemui jalan menuju kebijaksanaan.
(Dhammapada, ayat 280)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar